Dimulakan dengan...

Photobucket

Zikrullah

Photobucket

Salaam...

Photobucket

Di Mana Nilai Kesetiaan?

0 comments

Di Mana Nilai Kesetiaan?

Mereka bertanya
Di mana nilai setia?
Supaya mereka berasa,
Semua di sekeliling mereka setia.

Mereka berkata:
Nilai setia itu bak samudera,
Tanpa ukuran melalui ungkapan kata,
Tanpa sempadan dalam luahan rasa,
Tetapi mereka barangkali terlupa,
Adakah mereka itu sendiri,
Seorang yang setia?

Ramai ingin bahagia,
Ingin dihargai seadanya,
Tetapi mereka sering terlupa,
Adakah kesetiaan mereka kepada Tuhan mereka,
Sudahpun terlaksana?

Wahai si penagih setia,
Yang saban hari ingin disetiai,
Yang memarahi kala dikhianati,
Yang berduka kala didustai,
Nilai setia bukan pada mereka yang setia,
Tetapi nilainya,
Pada diri sendiri yang setia.

Tanyalah kepada diri,
Bahkan kepada seluruh alam ini yang menjadi saksi,
Sudahkah kesetiaanmu kepada Ilahi,
Telah terlaksana dalam kehidupanmu saban hari?
Atau dikau masih termimpi-mimpi,
Agar seluruh alam ini,
Mencurah kesetiaan mereka kepada dirimu yang sepi.

Biarlah lautan berbicara,
Tentang hakikat kesetiaan manusia,
Kepada Tuhan mereka yang Maha Mulia,
Nescaya jawabnya,
Tsunamilah yang melanda.

Biarlah daratan pula berbicara,
Bagaimana perihal kesetiaan manusia,
Nescaya meteluslah di mana-mana,
Gunung berapi dan juga gempa.

Duhai si hamba yang terbelenggu duka,
Nilaimu itu pada kesetiaan hamba,
Dalam menunaikan tanggungjawabnya,
Selaku hamba kepada Tuhan yang Maha Pencipta.

Bagaimana kewajipanmu, sudahkah terlaksana?
Bagaimana laranganNya, adakah masih dilaksana?
Bagaimana hak-hakNya, sudahkah ditunaikan sebaiknya?
Bagaimana tanggungjawabmu selaku hamba,
Adakah semuanya itu, sudah dilaksana?

Demi Dia yang Maha Berkuasa,
Nilai kesetiaan itu takkala seorang hamba,
Menunaikan sepenuhnya,
Segala kehambaannya.

Nilai kesetiaan dalam kehambaan,
Itulah kesetiaan yang abadi tanpa kesudahan.

Janganlah kamu hairan dengan dunia,
Dan segala isinya yang saling mengundang duka,
Tetapi hairanlah dengan dirimu yang sentiasa terlupa,
Bahawasanya dirimu sekadar seorang hamba,
Yang perlu redha dengan setiap ketentuanNya,
Ketentuan dariNya, Tuhan yang Maha Pencinta.

Kalau kamu mengerti,
Hakikat diri,
Nescaya kamu mengetahui,
Hakikat kehidupan ini,
Seterusnya kamu mengenali,
Hakikat Allah yang Maha Mengasihi.

Tunaikanlah kesetiaanmu kepada Ilahi,
Nescaya dikau
kan mengerti apa hakikat diri,
Lalu seterusnya akan dikau ketahui,
Apa itu kehidupan dunia yang mengaburi,
Lalu seterusnya
kan dikau kenali,
Bahawa DIALAH ALLAH, Tuhan Maha Mencintai.

Janganlah hairan dengan dugaan kehidupan,
Itulah bukti kesetiaan Tuhan kepada insan,
Di mana Dia tidak pernah mengabaikan,
Semua dugaan sebenarnya adalah proses penyempurnaan,
Yang maslahatnya untuk kesempurnaan insan.

Setialah kamu kepadaNya,
Dengan menunaikan segala hukum syariatNya secara rela,
Dengan menghadapi ketentuanNya secara redha,
Nescaya akan dikau kenali,
DIALAH ALLAH, Tuhan yang Maha Setia,
Segalanya demi cintaNya kepada para hambaNya.


Luahan Rasa

© Abu Al-Khair 2008

0 comments: to “ Di Mana Nilai Kesetiaan? so far...